Wednesday, 20 August 2014

Masyarakat dayak Desa juga melakukan pertanian dengan sistem ladang berpindah, yang secara teknik mirip dengan masyarakat dayak pada umumnya, seperti masyarakat Kantuk , dayak Tanjung Lingang  dan dayak Kenyah di Kalimantan Timur . Mereka menanam padi sebagai makanan pokok utama, disamping juga menanam ubi-ubian, keledek dan ulam. Sistem perladangan ini dilakukan secara gilir balik, berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain, kemudian kembali ke tempat semula apabila kesuburan tanahnya sudah pulih. Tanah yang telah berkurang kesuburannya kerana ditanami padi dibiarkan beberapa tahun (rata- rata 6 sampai 15 tahun) sehingga tumbuh menjadi hutan sekunder muda. Proses pengembalian zat pemakanan ke dalam tanah secara alami bergantung dari tumbuh-tumbuhan hutan. Dengan demikian  secara tidak  langsung ada ketergantungan  terhadap  hutan bagi masyarakat Dayak untuk mengembalikan kesuburan tanah. Sampai sekarang praktik pertanian ladang berpindah masih sangat dominan, khususnya di pedalaman Kalimantan. Diperkirakan 30% dari penduduk kalimantan masih tergantung pada pertanian perladangan ini.
Tanah di Borneo pada amnya kurang subur. Sehingga kemampuan tanah untuk menyimpan zat makanan sebahagian besar bergantung pada kandungan humus. Oleh sebab itu, kandungan zat makanan sangat rendah apabila lapisan humusnya rendah. Hal ini menjelaskan tingkat kesuburan yang sangat rendah pada ladang-ladang, kerana pembakaran vegetasi penutup dan hakisan lapisan tanah atas menyebabkan lapisan yang subur ini hilang. Masyarakat tempatan yang melakukan ladang berpindah, tanah seperti ini ditanam dengan tanaman yang jangka pendek dan masa ditinggalkan (masa bera) yang lebih panjang, supaya kesuburan tanah pulih kembali. Oleh itu, sistem ladang berpindah yang dilakukan oleh masyarakat dayak merupaka jawaban yang tepat bagi perjuangan mempertahankan kehidupan di atas tanah yang relatif kurang subur dan tanah dengan topografi yang berbukit serta bercerun. Dengan kata lain, hubungan yang mendalam antara orang dayak dan persekitarannya yang melahirkan sistem perladangan, iaitu merupakan model kearifan tradisional dalam pengurusan sumber daya hutan yang berdasarkan hukum adat.
Tanah yang umumnya diolah sebagai tempat ladang berpindah adalah tanah yang ditumbuhi oleh hutan sekunder yang terletak di sekitar perkampungan masyarakat dayak. Hutan sekunder muda lebih subur dan lebih mudah dikerjakan sebab tidak perlu menebang hutan rimba dengan pokok kayu yang bersaiz besar. Pembukaan  hutan  rimba untuk ladang dilakukan  untuk kepemilikan tanah dan mempersiapkan tanah bagi anak-anak mereka. Biasanya sebelum membuka hutan mereka harus mengadakan mesyuarat dan minta ijin dari kepala desa atau kepala adat. Dalam hukum  adat, sesiapa yang membuka hutan rimba pertama kali maka merekalah yang memiliki dan berhak mengelola tanah berkenaan. Sedangkan  apabila orang  lain mau menggunakannya untuk ladang, maka  mereka  boleh meminjam selama diberi ijin. Pembukaan hutan primer dilakukan apabila  sudah terbentuk rumah tangga baru dalam keluarga, kemudian mereka memisahkan diri dari keluarga orang tuanya dengan membuat rumah baru. Sebahagian besar keluarga yang baru terbentuk masih tinggal bersama orang tuanya untuk mengelola tanah bersama-sama. Tanda-tanda had kepemilikan tanah antar penduduk di hutan ialah berupa pokok-pokok, sungai kecil, batu atau tanda alam yang lain.
Kesan penerapan ladang berpindah oleh masyarakat dayak dipulau borneo sudah lama diperdebatkan oleh pelbagai kalangan. Ladang berpindah dianggap sebagai penyebab kerosakan hutan dan menimbulkan kebakaran hutan di pulau Borneo  Pernyataan tersebut sering kali dibantah oleh peneliti dari kalangan masyarakat dayak . Sistem perladangan berpindah dengan sistem siklus (gilir balik) bukan penyebab utama kerosakan hutan di Borneo. Kerana sistem perladangan ini memberakan tanah yang sudah diladangi agar menjadi hutan sekunder, sehingga kesuburannya pulih sebelum dikelola kembali. Pola pengurusan tanah dengan sistem gilir balik seperti ini memungkinkan untuk  mengelola tanah tertentu saja dan membiarkan tanah lainnya tetap hutan rimba. Sebaliknya penyebab kerosakan hutan utama di pulau Borneo adalah pembalakan hutan oleh syarikat kayu dan pembukaan hutan untuk penanaman kelapa sawit. Huraian tentang kerosakan hutan oleh kedua-dua faktor itu akan dikemukakan pada artikel selanjutnya.
            Pertumbuhan populasi masyarakat dayak akan meningkatkan keperluan tanah untuk aktiviti perladangan. Pada masa sekarang, pembukaan hutan primer untuk kepemilikan tapak perladangan hampir tidak mungkin dilakukan lagi oleh masyarakat dayak Desa. Hutan primer yang masih tersisa sebahagian besar hutan yang dijadikan kawasan konservasi dan hutan primer tanah basah (hutan paya) yang tidak memungkinkan untuk perladangan. Bagi kawasan kampung yang dimasuki syarikat kelapa sawit, sebahagian tanahnya tempat siklus perladangan berlaku, diserahkan kepada syarikat untuk ditanami tumbuhan kelapa sawit. Semakin luas tanah yang diserahkan setiap keluarga, maka semakin luas ladang kelapa sawit yang akan diterima keluarga tersebut. Hal itu, tentunya mengurangi tanah yang selama ini digunakan untuk menjaga keberlangsungan siklus ladang berpindah.
            Pertanian ladang berpindah umumnya dilakukan hanya untuk memenuhi keperluan makanan pokok seperti beras. Dengan peningkatan keperluan hidup dan pendidikan anak, memaksa masyarakat dayak Desa untuk mencari alternatif lain untuk menghasilkan wang. Oleh itu, banyak kawasan tempat siklus perladangan berlasung ditanami pokok getah oleh masyarakat.
            Pertambahan populasi masyarakat dayak, penyerahan tanah kepada syarikat kelapa sawit dan penanaman pokok getah di kawasan tempat siklus ladang berpindah telah mengurangi luas kepemilikan tanah untuk perladangan. Hal ini menyebabkan siklus perladangan semakin pendek. Sehingga tidak memungkinkan lagi masa bera yang cukup panjang untuk mengembalikan kesuburan tanah, sampai tanah tersebut diladangi kembali. Dengan kesuburan tanah yang berkurang maka akan menurunkan hasil tanaman padi yang diperolehi. Keadaan ini memberikan tekanan kepada hutan simpan di kawasan masyarakat berkenaan untuk dibuka sebagai tempat perladangan.

            Kegiatan ladang berpindah mempunyai sejarah panjang di Borneo. Sudah berabad-abad lamanya nenek moyang orang asli pulau Borneo iaitu bangsa Austronesia melakukan sistem perladangan ini. Begitu banyak aspek budaya seperti sastra lisan, bahasa pantang larang, kepercayaan, ritual yang berkaitan dengan aktiviti ladang berpindah. 

0 comments:

Post a Comment